Asal-usul orang Melayu
Kebanyakan pengkaji berpendapat orang
Melayu berasal dari tanah tinggi Yunan iaitu satu wilayah di Cina yang
terletak di utara Indochina. Kaum ini telah berpindah dalam satu
gerombolan yang besar(2000 tahun sebelum masihi) menyusuri sungai Mekong
sehingga sampai dipesisir pantai dekat Kemboja dan dari situ bertebaran
kaum ini diseluruh pelusuk kepulauan Melayu, melalui semenanjung Tanah
Melayu ke Sumatra, Jawa dan lain-lain tempat. Yang menjadi faktor utama
perpindahan kaum ini adalah kerana kehidupan di kawasan persisiran lebih
mudah, seperti kawasan untuk bercucuk tanam yang mendatar tidak
berbukit-bukau, cuaca yang lebih nyaman berbanding di tanah tinggi
Yunan, lebih mudah untuk berdagang dan berniaga untuk mendapatkan
keperluan asas hidup.
Asal-usul perkataan Melayu
Istilah
atau perkataan melayu menurut kajian para pengkaji etimologi berasal
dari perkataan Sanskrit ‘malaya’ yang bermaksud bukit atau tanah tinggi,
ada juga yang berpendapat bahawa perkataan melayu berasal dari sebatang
anak sungai yaitu Sungai Melayu yang terletak di hulu Sungai Batang
Hari di Jambi, Sumatera, Indonesia. Di situ juga wujud sebuah kerajaan
yaitu Kerajaan Melayu yang muncul sebelum atau semasa zaman Kerajaan
Sriwijaya.
Penggunaan Istilah Melayu dalam konsep geografi
kemudiannya semakin meluas apabila bukan sahaja merujuk kepada kerajaan
Melayu yang yang terletak berhampiran Sungai Melayu di Jambi akan tetapi
kawasan di pesisir selat Melaka juga mula di rujuk sebagai
negeri-negeri Melayu. Kemudian istilah Melayu semakin meluas apabila
penggunaan istilah Kepulauan Melayu digunakan untuk merujuk Kepulauan
Nusantara.
Perkatan melayu mula muncul dalam catatan sejarah buat
kali pertama kira-kira tahun 100-150 masihi oleh Ptolemy dalam karyanya
Geographike Sintaxis, dalam karyanya ada menyebut istilah ‘maleu-kolon’
yang berasal dari perkataan Sankrit iaitu ‘malayakom’ atau
‘malaikurram’ *.
Kemudian muncul pula dalam kitab Purana yaitu
sebuah kitab hindu purba yang ditulis sebelum zaman Gautama Buddha
sehingga tahun 500 masihi, Istilah Malaya dvipa, dvipa dalam bahasa
Sanskrit bermakna tanah yang di kelilingi air. Menurut maklumat-maklumat
lain yang terdapat dalam kitab tersebut Malaya dvipa merujuk kepada
Sumatera.
Dalam catatan perjalanan pengembara Cina istilah
melayu muncul dalam beberapa versi seperti Mo-Lo-Yu dalam sebuah catatan
pengembara Cina sekitar 644-645 pada zaman Dinasti Tang, pengkaji
sejarah berpendapat bahawa Mo-Lo-Yu yang dimaksudkan adalah kerajaan
yang terletak di Jambi atau mungkin juga merujuk kepada kerajaan
Sriwijaya yang terletak di Palembang. Seorang sami yang bernama Yi Jing
juga telah mencatatkan dalam pengembaraannya sebuah tempat bernama
Me-La-Yu.
* malayakom’ atau ‘malaikurram’ mengikut G.E. Gerini
merujuk kepada Tanjung Kuantan, sebaliknya, Roland Bradell menganggap
tempat itu merujuk kepada Tanjung Penyabung, kedua-dua tempat ini
terletak di semenanjung Tanah Melayu.
Kepulauan Melayu sebelum Islam
Sebelum kita memperkatakan
mengenai sejarah kemasukan Islam ke Kepulauan Melayu, kita haruslah
terlebih dahulu mendapat sedikit gambaran mengenai kawasan ini sebelum
kedatangan Islam, ianya penting sebagai pengenalan dan supaya kita dapat
memahami situasi penduduk kepulauan ini apabila kita mula membincarakan
tentang faktor-faktor yang membantu penyebaran Islam di Kepulauan ini.
Kepulauan
Melayu adalah satu gugusan pulau yang terletak di antara dua lautan
iaitu lautan Pasifik di sebelah timur dan lautan Hindi di sebelah barat.
Secara lebih tepat lagi ianya terletak di Asia Tenggara dalam istilah
geografi moden*. Kepulauan Melayu dalam konteks politik moden merangkumi
Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Selatan Thailand(Patani) dan
Selatan Filipina(Mindanao dan Sulu). Konsep Kepulauan Melayu juga
disebut sebagai Nusantara** yang mana kedua-duanya membawa erti yang
sama.
Tamadun yang wujud di kawasan ini tidak boleh dipandang picisan, kerana
tamadun yang wujud sudah bertapak lama dan telah menempa zaman
kegemilangannya seperti yang di capai oleh empayar Majapahit dan
Sriwijaya. Yang menjadikan tamadun Melayu begitu istimewa adalah kerana
tamadun ini merupakan adunan budaya masyarakat setempat(orang melayu)
dengan budaya dua kuasa besar iaitu India dan Cina yang bertembung dan
melampias ke Kepulauan Melayu.
Pembentukan tamadun ini mula
menampakkan ciri-cirinya yang jelas dan menonjolkan keistimewaannya
apabila agama Hindu dan Buddha dibawa masuk ke kepulauan ini. Kemuncak
kegemilangan tamadun ini dibuktikan dengan kehebatan Empayar Majapahit
yang berpegang kepada agama hindu, dan Empayar Sriwijaya*** yang
menjadikan Buddha sebagai agama rasmi. Dua agama ini banyak mencorakkan
tamadun Melayu yang sebelumnya tidak menyerlah dan tidak menampakan
apa-apa ciri tamadun yang jelas.
Sebelum kewujudan tamadun melayu
yang dicorak oleh agama Hindu dan Buddha, hampir-hampir tiada
ketamadunan yang wujud dikawasan ini dan hampir-hampir tiada catatan
sejarah mengenai masyarakat dan budaya setempat. Lebih-lebih lagi Greek
kuno berpendapat bahawa kawasan diantara Parsi dan Cina seluruhnya
adalah India(sumber tidak dapat dipastikan).
* Penggunaan istilah
Asia Tenggara(South-east Asia) hanya muncul di awal kurun ke 20 apabila
glob dan peta dunia yang hampir tepat dihasilkan. Sebelum ini istilah
yang digunakan untuk merujuk kepada geografi Kepulauan Melayu adalah
seperti Kepulauan Hindia Timur, Timur Jauh atau Timur Dekat (شرق
أقصى – شرق أدنى ). Sebadai contoh Indonesia ketika di jajah oleh Belanda
di kenali sebagai Hindia Timur Belanda(Dutch East Indies).
**Perkataan
Nusantara adalah berasal dari perkataan Jawa Kuno yaitu Nusa (pulau)
dan antara (lain), perkataan nusantara buat kali pertama muncul dalam
sumpah yang dibuat oleh Mahapatih Gajah Mada yang merupakan perdana
menteri bagi Empayar Majapahit, sumpah tersebut boleh didapati dalam
catatan manuskrip Negarakertagama, sumpah yang dibuat dalam bahasa Jawa
berbunyi : “Sira Gajah Mada pepatih amungkubumi tan ayun amukita palapa,
sira Gajah Mada : Lamun huwus kalah nusantara ingsun amukti palapa,
lamun kalah ring Gurun, ring Seram, Tanjungpura, ring Haru, ring Pahang,
Dompo, ring Bali, Sunda, Palembang, Tumasik, samana ingsun amukti
palapa “. Sumpahan ini dinamakan Sumpah Pelapa.
.
No comments:
Post a Comment